Jumaat, 28 Ogos 2009

Peperiksaan......2009

Selepas cuti pertengahan penggal ke 2 2009, semua calon UPSR, PMR dan SPM SMK Redang Panjang akan menghadapi peperiksaan. Panitia Tasawwur Islam menyediakan sedikit panduan untuk semua calon peperiksaan, semoga ianya memberi manfaat kepada semua.

Doa agar dikurniakan kefahaman yang baik dan ingatan yang sempurna sewaktu menelaah matapelajaran
اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّينَ وَحِفْظَ المُرْسَلِينَ وإلْهَامَ المَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِينَ
فِي عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul, serta ilham daripada para Malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”

Doa sebelum masuk ke dalam kelas atau dewan peperiksaan
وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
“Ya Allah, persiapkanlah kami akan urusan kami dengan petunjuk-Mu.”

Doa apabila terlupa ketika menjawab soalan:
سُبْحَانَ مَن لاَّ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو. اللَّهُمَّ ذَكِّرْنِي مَا نَسِيتُ
“Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa. Wahai Tuhanku, ingatkanlah daku apa-apa yang kulupa.”

Doa memohon kejayaan cemerlang:
اللَّهُمَّ إني أسْألُكَ الفَوْزَ عِنْدَ القَضَاءِ وَمَنَازِلَ الشُهَدآءِ وَعَيْشَ السُّعَدآءِ وَالنَّصْرُ عَلَى الأعْدآءِ“
Ya Allah, kami memohon daripada-Mu kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada’, dan kehidupan mereka yang bahagia serta kemenangan ke atas m

Khamis, 27 Ogos 2009

Jumaat, 21 Ogos 2009

Aku di Sinar Harian lagi

Sinar Harian 19 Ogos 2009 ( Khamis) ruangan sekolah Perak telah memaparkan kenyataan aku selaku JK Publisiti mengenai Hari Anugerah Cemerlang SMKRP 2009 yang telah diadakan pada awal bulan lalu ;

Empat Anugerah Kecemerlangan Jadi Rebutan

REDANG PANJANG – Empat anugerah menjadi rebutan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Redang Panjang (Model Khas) di sini, pada majlis Hari Anugerah Cemerlang Pelajar sekolah terbabit. Guru Bahagian Publisiti, Ahmad Bakhtier Muslim berkata, majlis itu berlangsung penuh meriah berikutan sekolah terbabit adalah sebuah sekolah yang mempunyai gabungan antara sekolah menengah dan rendah dalam satu pentadbiran. Menurutnya, jumlah anugerah yang diwujudkan juga dilihat menunjukkan pertambahan dan peningkatan. “Antara empat kategori yang ada pada tahun ini ialah Anugerah :Kecemerlangan Kurikulum Dalaman, Anugerah :Kurikulum :Awam, Anugerah :Kecemerlangan :Kokurikulum dan Anugerah Kecemerlangan Hal Ehwal Murid,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, dekat sini, baru-baru ini. Majlis telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar. Ahmad Bakhtier berkata, pada tahun ini, pelajar-pelajar juga telah menunjukkan peningkatan kualiti yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya di samping pencapaian memberangsangkan dalam beberapa aspek. “Contohnya bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008, dua pelajar telah mendapat 4A 1B, Penilaian Menengah Rendah (PMR), seorang pelajar telah berjaya mendapat 8A, manakala bagi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), seorang telah mendapat keputusan 5A,” katanya. Beliau berkata, guru-guru di sini sentiasa memberikan yang terbaik kepada semua pelajar agar kecemerlangan sentiasa dicapai demi kebaikan bersama. “Bahkan nama sekolah juga akan terus dinaikkan supaya dapat bersaing dengan sekolah-sekolah lain bagi mencapai lebih banyak kejayaan. “Bagi merealisasikan impian ini semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama iaitu bukan sekadar guru-guru tetapi juga pelajar dan ibu bapa yang menjadi tunggak kejayaan bersama,” katanya.

Khamis, 13 Ogos 2009

Ternakan ikan puyu di Sinar Harian



4 Ogos 2009 jam 12.00 tgh , wartawan Sinar Harian kawasan Larut Matang & Selama 2 ke SMK Redang Panjang untuk mengambil bahan berita Hari Anugerah Cemerlang 2009 yang di adakan pada 01 Ogos 2009. Secara tidak langsung beliau membuat liputan tentang ternakan ikan puyu yang telah diusahakan. Sinar Harian bahagian buletin sekolah Perak 5 Ogos 2009 ( Rabu ) telah memuatkan berita tersebut. Projek tak seberapa ini diwar-warkan dalam akhbar ke seluruh Perak amnya. Teks penuh berita tersebut yang ditulis oleh Nur Mazwana Hamdan ;


TERNAKAN IKAN AIR TAWAR BANTU PELAJAR BUAT AMALI.


REDANG PANJANG – Projek ternakan ikan air tawar yang diusahakan beberapa guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Redang Panjang bertujuan menambah pendapatan di samping turut membantu pelajar melaksanakan latihan amali dalam bidang berkaitan. Guru, Ahmad Bakhtier Muslim, 43, berkata, projek itu dimulakan sejak Mac lalu dengan keluasan tanah iaitu kira-kira o.4 hektar. Menurutnya, projek ternakan ikan air tawar itu melibatkan 10 kolam yang merangkumi beberapa jenis ikan seperti puyu, keli dan ketutu. “Kita percaya projek ternakan ini akan berjaya dan mampu untuk membawa pulangan lumayan kerana mengikut harga pasaran jenis-jenis seperti ikan puyu adalah sangat tinggi. “Dalam masa sama, kita turut memilih baka yang baik iaitu baka puyu siam kerana saiznya adalah lebih besar berbanding puyu biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. Ahmad berkata, secara purata seekor puyu boleh membesar sehingga mencecah kepada 80 gram setiap ekor dan harga pasaran terkini dianggarkan RM16 sekilogram. “Keadaan kawasannya juga dilihat sebagai tempat strategik kerana berpaya dan boleh menakung air sememangnya sesuai untuk aktiviti ternakan ikan air tawar,” katanya. Beliau berkata, selain itu, kos makanan ikan juga tidak begitu tinggi kerana hanya memproses semula beras hancur, kulit gandum dan ikan bilis yang tidak boleh digunakan lagi. “Oleh itu, ia tidak memerlukan satu jumlah kos yang terlalu tinggi kerana dianggarkan dalam tempoh sebulan hanya memerlukan kos sebanyak RM150 sahaja,” katanya. Sementara itu seorang lagi rakan kongsi, Rahim Ahmad, 37, berkata, selain mempunyai tempat sesuai perjalanan projek terbabit juga dilihat dapat membantu pihak sekolah yang membenarkan tapak berkenaan diusahakan. “Malah dalam masa sama, pelajar juga dapat dibantu khususnya ketika ini mereka boleh menjalankan latihan amali di kawasan tapak kolam yang sedia ada untuk menambah pengetahuan dalam pelajaran selain pengajaran dan pembelajaran dalam kelas,” katanya. Menurutnya, kawasan sekitar Redang Panjang sememangnya sesuai untuk dilaksanakan aktiviti ternakan dan pertanian kerana secara keseluruhan penduduk di sini turut melakukan aktiviti sama. “Projek terbabit bukan sahaja membawa banyak manfaat kepada warga sekolah tetapi juga sebagai salah satu aktiviti yang boleh diguna pakai untuk mengisi masa lapang kerana di kawasan kampung aktiviti sebeginilah yang sering diusahakan. “Ia bukan sahaja dapat memberikan pulangan lumayan tetapi dalam masa sama mengeratkan hubungan setiap individu terlibat kerana masing-masing saling bekerjasama untuk memastikan projek berjaya,” katanya.